Modul Aktiviti Elektrokimia Lectrofun 2.0
DR. AISYAH MOHAMAD SHARIF
Nama Lectrofun 2.0 adalah gabungan daripada Lectro iaitu elektrokimia dan Fun iaitu belajar dengan seronok. Tujuan utama Lectrofun 2.0 ini dibina adalah untuk menghasilkan pembelajaran elektrokimia yang menyeronokkan menggunakan bahan-bahan yang berada disekitar pelajar dan bahan-bahan yang biasa mereka lihat dalam kehidupan seharian mereka. Lima eksperimen telah dirangka dan dibina mengikut spesifikasi kurikulum kimia tingkatan 4 dan tingkatan 5, Kementerian Pelajaran Malaysia di dalam Modul Aktiviti Elektrokimia LECTROFUN 2.0. (Rajah 1). Terdapat cara pembuatan set Lectrofun 2.0 (sel elektrolisis), ruang mengisi data eksperimen dan soalan pengukuhan pelbagai aras soalan disediakan di dalam modul tersebut bagi meningkatkan kefahaman pelajar dan meningkatkan penggunaan pemikiran aras tinggi (HOTs) pelajar dalam menyelesaikan masalah yang melibatkan konsep elektrokimia. Aktiviti tambahan juga disediakan bagi meningkatkan kreativiti pelajar menjalankan eksperimen elektrokimia menggunakan bahan-bahan lain disekitar mereka selain dari bahan yang telah digunakan di dalam eksperimen yang telah dirangka. Pembinaan modul aktiviti yang dihasilkan dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan minat pelajar dalam subjek STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) secara umumnya. Ini secara tidak langsung dapat membantu merialisasikan usaha kerajaan dalam meningkatkan bilangan pelajar yang mengambil aliran sains di tingkatan 4 di Malaysia.